KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan pihaknya tidak menolak aduan berhubung isu tahanan Depoh Imigresen Kimanis yang tular minggu lalu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sedia mendengar segala teguran dan pandangan.
Bagaimanapun, katanya ia adalah sangat tidak adil untuk pihak lain membuat ‘judgement’ (mengkritik) dan membuat kesimpulan awal.
“Siapa yang mengenali saya, mereka akan akui saya sedia menerima teguran dan pandangan. Itu cara kepimpinan saya.
“Ini adalah hari kelima saya masuk pejabat, beri peluang untuk saya dengar semua taklimat,” katanya pada sidang akhbar Lawatan Kerja Menteri Dalam Negeri di Ibu Pejabat Bukit Aman, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan pihak Lawyers for Liberty (LFL) berkaitan isu terbabit.
“Pihak LFL harus lihat rekod saya yang lepas dan jangan buat kesimpulan awal. Dia sendiri tak pernah mohon utuk jumpa saya, macam mana dia kata saya tak terima pandangan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebagai Menteri dan Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang memulakan tugas, adalah munasabah untuk pihaknya mendengar taklimat.
“Tentulah kami ada aspek yang akan kami bagi pandangan, namun buat masa ini, kami mendengar.
“Pihak kami akan berinteraksi dengan jabatan-jabatan barkaitan termasuk pihak imigresen yang mana kami akan berikan beberapa idea penambahbaikan,” ujarnya.
Terdahulu, Pengarah LFL, Zaid Malek mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Saifudin menafikan dakwaan tahanan di Depoh Imigresen Kimanis dilayan dengan teruk adalah tidak boleh diterima.
Ia kerana, katanya, tindakan itu disifatkan bertentangan dengan tadbir urus yang baik bagi Menteri Dalam Negeri untuk menolak terus aduan yang serius.
Minggu lalu, tular sebuah video memaparkan tahanan di Depoh Imigresen Kimanis didakwa dilayan dengan teruk sehingga mengalami isu kesihatan. – KOSMO! ONLINE