fbpx

Kandungan aplikasi Qalbox berteraskan Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS kejayaan Muslim Pro, Bitsmedia mencipta Qalbox untuk memudahkan pengguna Muslim mendapatkan panduan.

SYARIKAT BITSMEDIA yang merupakan pemaju aplikasi mudah alih gaya hidup Muslim terkemuka di dunia iaitu Muslim Pro kini melancarkan perkhidmatan penstriman video atas langganan global (SVOD), Qalbox.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bitsmedia, Fara Abdullah, Qalbox merupakan aplikasi yang menganjurkan sumber kandungan luas dengan meraikan identiti dan budaya Muslim.

Aplikasi tersebut dilancarkan selepas kejayaan Muslim Pro yang mempunyai sekitar 140 juta pengguna seluruh dunia.

“Kami bermula dengan aplikasi Muslim Pro yang mendapat maklum balas hebat daripada ramai orang, Mereka menggunakannya sebagai rujukan waktu solat, al-Quran dan kiblat.

“Ramai juga menyoal tentang kandungan terbaik yang boleh diberikan. Jadi, kami mendapat idea menghasilkan Qalbox yang menonjolkan kandungan mengenai Muslim.

“Muslim bukan sahaja orang Arab tetapi dari berbagai negara. Jadi, aplikasi ini dapat membuka mata dan mempelajari tentang dunia luar dan budaya di sesebuah kawasan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar pelancaran Qalbox di Sunway Pyramid.

QALBOX turut mengandungi drama, dokumentari dan pelbagai panduan berteraskan Islam seperti platform penstriman popular Netflix.

Jelas Fara lagi, aplikasi tersebut sangat mudah digunakan kerana berada dalam platform yang sama seperti Muslim Pro.

“Demi memudahkan pengguna, kami mencipta aplikasi yang boleh mengakses semua kandungan dalam satu platform.

“Menerusi platform ini, kami menyajikan bacaan doa dalam bentuk video dan dalam perancangan menambah sesi dokumentari lebih menjurus tentang kehidupan realiti,” tambahnya.

Keselamatan data

Lebih menarik, Fara memaklumkan BITSMEDIA mempunyai kumpulan yang menjaga ketelitian dan kebenaran kandungan sebelum dilancarkan dalam aplikasi tersebut.

“Kami mempunyai ‘moderation team’ yang akan memastikan kandungan selamat walaupun Qalbox turut mengandungi hiburan berbentuk drama.

“Sebelum melancarkan sebarang kandungan, kami akan merujuk nasihat syariah dan memastikan perkara yang diberikan adalah benar,” katanya.

Meskipun Muslim Pro pernah berdepan kontroversi sehingga kehilangan sejumlah pengguna, namun aplikasi tersebut tetap menjadi pilihan dan panduan buat Muslim.

“Insiden yang terjadi tiga tahun lalu benar-benar memberikan kesan kepada aplikasi kami sehingga mengalami penurunan jumlah pengguna.

“Kami telah meningkatkan keselamatan data, mengukuhkan infrastruktur. Alhamdulillah bilangan pengguna semakin meningkat.

“Pengguna melihat aplikasi ciptaan syarikat kami sebagai sebuah platform yang penting dalam kehidupan harian sebagai Muslim. Justeru itu, kami juga berharap agar Qalbox mampu memberikan yang terbaik buat pengguna,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI