LUMUT – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan bekerjasama dengan Kumpulan syarikat ADL Sdn. Bhd. (ADL) bagi membangunkan projek tenaga solar terapung terbesar di negara ini di Selangor tahun depan.
Menerusi usahasama itu, ADL dijangka melabur kira-kira RM200 juta bagi membangunkan ladang solar terapung yang mempunyai keupayaan membekalkan tenaga elektrik berkapasiti 50 Megawatt, dalam tempoh sebelum suku ketiga tahun depan.
Ketika ini, anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga kolam bekas lombong di Bestari Jaya dan Serendah untuk dibangunkan projek tersebut.
Pengarah LUAS, Hasrolnizam Shaari berkata, ia sebagai salah satu usaha untuk mengoptimumkan penggunaan 98 kawasan kolam bekas aktiviti perlombongan di negeri itu yang mana ada antaranya ketika ini tidak diuruskan dengan baik.
“Kami yang berada di bawah pentadbiran Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor diberi tanggungjawab dengan KSSB melaksanakan usaha membaik pulih kolam-kolam tersebut dan LUAS diberi peranan untuk melihat potensi kolam-kolam ini daripada sudut yang lebih luas.
“Oleh itu, kami datang ke sini hari ini untuk melihat kejayaan ADL dalam menjadikan ladang solar di kawasan ini sebagai sumber tenaga alternatif untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Ia juga bagi memenuhi hasrat kepimpinan kerajaan negeri yang ingin melihat usaha seumpama ini di Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke ladang solar terapung ADL di Segari, dekat sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pemasaran KSSB, Mohd. Nizam Mohd. Ishak dan Pengarah Urusan Kumpulan ADL, Datuk YK Kong.
Pada program itu, Mohd. Nizam dan Kong turut bertukar memorandum persefahaman (MoU) sambil disaksikan Hasrolnizam. – KOSMO! ONLINE.