SETIU – Seorang bekas imam yang sedang menjala ikan dikhuatiri lemas selepas terjatuh di dalam kolam udang di Kampung Fikri di sini semalam.
Dalam kejadian pada 7 malam itu, mangsa, Zakaria Mat Nong, 72, yang berasal dari Kampung Beris Tok Ku di sini dipercayai tergelincir sewaktu berada di tebing kolam udang berkenaan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, pasukan mencari dan menyelamat telah diaktifkan setelah menerima maklumat berhubung kejadian lemas berkenaan pada pukul 7.30 malam.
“Mangsa dikatakan menjala ikan di kolam udang seorang diri pada pukul 6.30 petang semalam.
“Dia kemudiannya dilihat beberapa orang kampung tergelincir ke dalam kolam itu dan tidak timbul semula,” katanya.
Afandi berkata, setakat ini, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan 38 anggota pasukan penyelamat. – KOSMO! ONLINE