GEORGE TOWN – Beberapa jalan di Pulau Pinang akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat sempena acara Penang 2nd Bridge PDRM 2022 Solidarity Fun Ride edisi keempat bermula 17 hingga 18 Disember ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, proses penutupan dan lencongan jalan itu akan bermula pada pukul 8 malam (17 Disember) hingga pukul 6 pagi (18 Disember).
”Sehingga kini, seramai 3,623 orang telah membuat pendaftaran bagi menyertai kayuhan ini.
”Ia melibatkan jarak kayuhan sepanjang 73 kilometer (KM) yang melibatkan laluan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di kedua-dua hala dan jalan sekitarnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurutnya, pada peringkat pertama, Bulatan Queen 1 dan Bulatan Queen 2 akan ditutup pada pukul 8 malam.
”Seterusnya, pada peringkat kedua iaitu pada pukul 9 malam, bulatan persiaran Bayan Indah (berhampiran susur keluar ke Seagate), kesemua susur masuk dan susur keluar ke jambatan kedua dan bulatan Batu Maung menghala ke pusat bandar akan ditutup.
”Kemudian pada pukul 11 malam (peringkat ketiga), laluan yang akan ditutup adalah sekitar Bandar Cassia (Seberang Perai Selatan).
”Penutupan jalan peringkat keempat dijalankan pada pukul 12 tengah malam melibatkan bulatan Bayan Baru (ke arah dan dari arah Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu dan lencongan ke jalan Tun Dr. Awang dan Jalan Sultan Azlan Shah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pengguna jalan raya yang hendak ke tanah besar hendaklah menggunakan jambatan pertama Pulau Pinang.
”Pengguna dari tanah besar menghala ke Bayan Lepas atau Bayan Baru hendaklah melalui Jalan Sultan Azlan Shah manakala pengguna dari Utara/ Selatan yang hendak ke Bandar Cassia perlu melalui Bukit Tambun.
”Pengguna juga dinasihatkan merancang perjalanan dengan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif yang lain,” tambahnya. KOSMO! ONLINE