PETALING JAYA – Keluarga mangsa terkilan apabila Facebook bertindak memadam hantaran yang dimuat naik berkaitan kes kemalangan melibatkan beberapa kenderaan dengan sebuah lori lebih muatan di laluan Gerik-Jeli, Oktober lalu.
Menerusi perkongsian Ka Cheng Saw di Facebook hari ini, dia memberitahu walaupun hantaran tersebut dipadam, namun pihaknya lega apabila kisah tersebut telah mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
“Post (hantaran) aku telah dihapuskan oleh pihak Facebook. Tapi tak ada hal (masalah), yang pentingnya Anthony Loke Siew Fook telah nampak post (hantaran) tersebut dan mengambil tindakan lanjut terhadap pemandu lori tersebut dan syarikat logistik tersebut.
“Justice for you and your family (keadilan untuk awak dan keluarga), stay strong (kekal kuat) Ding Sheng Koh,” katanya.
Berita berkaitan: [VIDEO] Lelaki hilang anak, isteri parah angkara lori terlebih muatan
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kisah sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbalik selepas terlibat kemalangan di laluan Gerik-Jeli sehingga meragut nyawa bayi dalam kandungan serta si isteri cedera parah.
Kemalangan itu juga dikatakan berpunca daripada sikap cuai pemandu lori serta muatan yang dibawa telah melebihi kapasiti yang diluluskan.
Bagaimanapun, kisah tersebut turut mendapat perhatian Anthony yang telah mengarahkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk segera mengambil tindakan terhadap pemandu san syarikat terlibat.
“Saya berasa amat simpati dengan keluarga mangsa kemalangan ini. Salam takziah kepada keluarga.
“Permit syarikat lori ini akan digantung sementara untuk audit ke atas semua lori mereka.
“Saya tidak akan berkompromi dengan pemandu dan syarikat yang membahayakan orang ramai di atas jalan raya,” katanya pada hantaran di Facebook pagi tadi.
Dalam pada itu, Anthony turut berkongsi pautan berita yang ditulis wartawan Kosmo! mengenai luahan dan pengalaman mangsa kemalangan terbabit. – KOSMO! ONLINE