PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir serta hujan lebat di empat negeri hingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya berkata, amaran itu melibatkan negeri di Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak.
“Di Johor antara kawasan menerima ribut petir dan hujan lebat adalah daerah Segamat, Kluang, Mersing, Pomtian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru manakala di Terengganu melibatkan Hulu Terengganu.
“Di Pahang pula melibatkan kawasan Rompin serta Sarawak di Kuching,” katanya.
Sementara itu, menurut laman sesawang info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat petang ini, paras air sungai di Sungai Triang, Bera, Pahang, dan Sungai Golok, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan masih berada pada paras bahaya.
“Sungai Triang masih mencatatkan trend meningkat dengan bacaan 34.56 meter (m) melebihi paras bahaya.
“Selain itu, turut melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok dengan bacaan 9.37 m namun ketika ini dalam trend menurun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE