PETALING JAYA – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Doha, Qatar bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari, bermula hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, lawatan khas itu adalah atas jemputan peribadi Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sempena temasya Piala Dunia Persekutuan Antarabangsa Persatuan Bola Sepak (FIFA) Qatar 2022.
Jelas beliau, selain jemputan menyaksikan perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir temasya ke-22 Piala Dunia FIFA itu, Seri Paduka Baginda turut dijadualkan melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Sheikh Tamim.
“Seri Paduka Baginda turut dijadualkan menerima menghadap beberapa pemimpin kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar dalam rangka lawatan khas ini.
“Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat tiba di tanah air pada 19 Disember 2022,” ujarnya.
Ahmad Fadil berkata, jemputan peribadi Sheikh Tamim telah dipersembahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, semasa sesi menghadap di Istana Negara, pada 12 Ogos lalu.
Kata beliau, Seri Paduka Baginda merupakan Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA dari tahun 2015 hingga 2019.
Bagaimanapun katanya, selepas pemilihan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada awal tahun 2019, baginda telah berkenan melepaskan jawatan tersebut selaras dengan Perkara 34(2), 32(3) dan 32(4) Perlembagaan Persekutuan.-KOSMO! ONLINE