JAKARTA – Hantu wanita, kuntilanak atau puntianak didakwa mencuri wang sejumlah penduduk tempatan di sebuah wilayah di Jawa Barat, Indonesia, lapor portal berita majalengka.com semalam.
Menurut portal berita itu yang memetik laporan Bolokotono TV di Youtube, kejadian aneh tersebut berlaku pada tahun lalu ketika Covid-19 menular di kecamatan Cigasong, Majalengka.
Seorang mangsa kecurian dilaporkan berkata, dia sudah enam kali mengalami kecurian wang yang berjumlah sembilan juta rupiah (RM2,544) sejak bulan Jun hingga Ogos 2021.
Menurut ceritanya, wang tersebut dibungkus dengan kertas dan dimasukkan ke dalam dompet sebelum disimpan di dalam beg serta dibawa ke mana-mana dia pergi, menyebabkan mustahil ia boleh diambil oleh pencuri.
Tidak semua wang itu dicuri sebaliknya ada sahaja yang ditinggalkan dan sebagai contohnya dalam kejadian terakhir, daripada 6,800,000 rupiah (RM1,923), sebanyak enam juta rupiah (RM1,697) dilarikan, manakala bakinya iaitu 800,000 rupiah (RM226.30) lagi ditinggalkan.
Dia mengesyaki toyol melakukan perbuatan tersebut kerana pada kebiasaannya, hantu itu hanya mengambil beberapa helai wang sahaja dan tidak seperti kejadian tersebut yang mana jumlah kehilangan wangnya melibatkan jutaan rupiah.
Sekurang-kurang dua jirannya juga mengalami kejadian kehilangan wang dan salah seorang daripada mereka bernama Asri yang kemudian menemui seorang anggota paranoramal untuk merungkai misteri tersebut.
Anggota paranormal berkenaan kemudian pergi ke rumah lelaki tersebut melalui ‘pengantara’ dan dia kemudian diberitahu bahawa kuntilanak mencuri wang milik Asri dan jirannya, manakala hantu tersebut dilaporkan melakukan perbuatan keji itu atas arahan tuannya. – Agensi