WASHINGTON – Kes influenza semakin meningkat di seluruh Amerika Syarikat (AS), demikian menurut angka mingguan yang dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan penyakit (CDC) seperti dilaporkan agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
“Setakat musim ini, terdapat sekurang-kurangnya 13 juta pesakit, 120,000 kemasukan ke hospital dan 7,300 kematian akibat influenza,” demikian menurut Laporan Pengawasan Influenza Mingguan AS oleh CDC.
Berdasarkan angka minggu lepas, tujuh kematian kanak-kanak dilaporkan, manakala jumlah kemasukan ke hospital akibat influenza terus meningkat.
Jumlah kumulatif kemasukan ke hospital yang dicatatkan oleh Rangkaian Pengawasan Penghospitalan Influenza minggu lalu adalah tertinggi dalam tempoh setahun sejak 2010 hingga 2011. Ia dicatatkan pada minggu ke-48 tahun ini.
Menurut CDC, seramai 25,906 pesakit dimasukkan ke hospital akibat influenza pada minggu lalu, manakala data menunjukkan bahawa semua virus yang dikumpul dan dikaji pada musim ini boleh dirawat menggunakan ubat antivirus.
Data pesakit luar menunjukkan bahawa 7.2 peratus daripada lawatan pesakit yang dilaporkan adalah disebabkan oleh simptom influenza termasuk penyakit berkaitan pernafasan seperti demam, batuk dan sakit tekak.
Angka itu jauh lebih tinggi daripada garis dasar nasional iaitu sebanyak 2.5 peratus.
Walaupun peratusan lawatan untuk penyakit berkaitan pernafasan yang dilaporkan untuk orang berumur 24 tahun dan lebih muda menurun sepanjang minggu lalu, bilangan itu meningkat dalam kalangan pesakit berusia lebih daripada 25 tahun.
Rumah jagaan dan kemudahan penjagaan jangka panjang juga menyaksikan peningkatan dalam penyakit pernafasan, dengan 5.4 peratus daripada 14,321 kemudahan melaporkan sekurang-kurangnya satu kes influenza dalam kalangan penghuni.
CDC menggesa orang ramai untuk mendapatkan vaksin selesema bagi melindungi diri mereka dan membantu mengawal penyebaran influenza. – Agensi