GEORGE TOWN – Pelaksanaan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menambah tekanan kepada murid-murid sekolah terutama yang berada di Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) ketika ini.
Pegawai Pendidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V. Subbarow berkata, tiada keperluan untuk memperkenalkan semula UPSR sebaliknya perlu menambah baik sistem pendidikan sedia ada termasuk dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Katanya, peperiksaan penilaian masih boleh dilaksanakan dan dinilai tahap pembelajaran serta pemikiran murid-murid menerusi PBD.
“Tidak perlu kembalikan UPSR dan ini akan menambahkan lagi tekanan kepada murid-murid terutama yang berada di Tahun 4, 5 dan 6 apabila terpaksa berdepan peperiksaan tanpa persiapan rapi sekiranya dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun ini.
“Ini juga akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa yang anak mereka kini berada di Tahap 2. Anak mereka dikatakan seolah-olah seperti dibuat uji kaji.
“PBD perlu dikaji dan dimantapkan lagi oleh pihak Kementerian Pendidikan supaya dapat melahirkan lebih ramai pelajar intelek meliputi semua bidang termasuk pengucapan dan persembahan projek,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan sebahagian ibu bapa merayu kementerian mengembalikan semula UPSR yang telah dimansuhkan tahun lalu kerana mereka kini resah dengan prestasi pelajaran anak-anak.
Dalam pada itu, Subbarow memberitahu, pemantapan peperiksaan penilaian murid menerusi PBD antara solusi berkesan dan lebih efisien untuk menyemarakkan semangat serta prestasi cemerlang murid-murid. -KOSMO! ONLINE