SHAH ALAM – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengetuai senarai 104 penerima darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri sempena Hari Keputeraan ke-77 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Bekas Menteri Kewangan itu dikurniakan darjah kelas pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ Seri.
Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan darjah sama kepada Presiden Kumpulan Perdana Parkcity Sdn. Bhd., Datuk Seri Yaw Chee Ming.
Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir menjadi penerima tunggal pengurniaan darjah Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’ Setia.
Seramai 10 penerima darjah kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.), yang membawa gelaran Datuk termasuk Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar dan Duta Malaysia ke Jepun, Shahril Effendi Abd. Ghany.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis pula antara 11 penerima darjah Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Datuk.
Turut menerima gelaran sama ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd. Yazid Sairi dan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd. Tahir.
Sementara itu, darjah dan bintang kebesaran yang tidak membawa gelaran pula dikurniakan kepada 19 individu masing-masing Setia Mahkota Selangor (S.M.S) dan Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.).
Seramai 17 individu pula dikurniakan Ahli Mahkota Selangor Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) dan 15 calon bagi Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S.).
Pengurniaan itu diakhiri dengan tiga individu bagi Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (B.K.S.) manakala tujuh lagi dikurniakan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC).
Kesemua penerima yang diperkenankan Sultan Sharafuddin itu telah melepasi tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mereka disenarai pendek oleh Jawatankuasa Khas dan dan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Dewan diRaja pada 27 September lalu. – KOSMO!ONLINE