fbpx

Tajaan RM15 juta Reen, hantaran senaskhah al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REEN Rahim dan bakal suaminya dikenali sebagai Mr. H bakal berkahwin pada hujung bulan ini.

HAMPIR reda dengan kepanasan insiden cekik di lokasi penggambaran sebuah filem seram, nama pelakon sensasi Reen Rahim terus menjadi tumpuan apabila tiba-tiba mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang bersama lelaki yang masih disorokkan identiti, Mr. H dalam tempoh terdekat.

Sekadar memberi bayangan jejaka yang berjaya menjinakkan jiwa lasaknya seorang ahli perniagaan dengan sedikit penglibatan dalam industri hiburan, Reen bahkan lebih mengejutkan ramai dengan tajaan RM15 juta yang diterima untuk majlis perkahwinannya.

Kata Reen, awalnya dia enggan mengadakan majlis secara besar-besaran. Namun, disebabkan dirinya anak bongsu perempuan dan paling terakhir berkahwin, dia harus mengikuti permintaan ibunya.

“Sejujurnya saya tidak nampak gambaran perkahwinan nanti kerana saya tidak meletakkan harapan yang tinggi. Namun, apabila kawan baik merangkap perancang perkahwinan The Kenduri membuat perbincangan, saya teruja.

“Ibu pula muncul dengan macam-macam idea hingga terjadilah perancangan mengadakan tiga buah majlis.

“Saya juga tidak minta tajaan tetapi penaja sendiri yang mahu berbuat demikian. Saya sangat menghargai The Kenduri Event Sdn. Bhd. dan Ceres Jewels Ceres Gold yang membantu merealisasikan impian umi saya,” tuturnya.

KONGSI Reen, bakal suaminya kini sedang ligat khatam al-Quran tidak kira di mana jua dengan semakan daripada orang sekeliling yang lebih arif dalam ilmu agama.

Menceritakan momen awal perkenalan, Reen atau nama lengkapnya Noreen Ashikin Abdul Rahim mula mengenali Mr. H dua tahun lalu.

“Saya berjumpa dengannya secara tidak sengaja di tempat latihan untuk berlatih berlawan dengan orang lain. Tetapi digantikan dengan Mr. H.

“Semasa memasuki pekarangan, dia sangat sombong dan langsung tidak pandang muka saya walaupun sedang menjalani latihan bersama-sama.

“Sejak itu, saya sering terjaga malam dan umi suruh melakukan solat istikharah, tahajud dan taubat. Apabila mula berjauhan, saya kerap mimpikannya,” jelas pelakon filem Daddyku Gangster itu.

Berikutan pertemuan kali pertama, Reen akui dia tidak boleh melupakan susuk lelaki itu sehingga mereka akhirnya membuat keputusan berkahwin pada hujung bulan ini.

“Saya jenis tidak ada rahsia dengan umi. Semasa menunaikan umrah, umi berdoa yang terbaik buat saya. Daripada tiada rasa ke arah itu (berkahwin), tiba-tiba kami menggelupur untuk melangsungkan perkahwinan,” selorohnya.

REEN bersyukur tidak menamatkan zaman bujang 12 tahun dahulu kerana mempunyai banyak masa untuk lebih fokus terhadap keluarga. Foto- SADDAM YUSOFF

Berkongsi lanjut, Reen yang sudah mengikat tali pertunangan pada 12 Ogos lalu tidak pernah terdetik untuk segera berkahwin. Bagaimanapun, ciri-ciri yang ada pada calon suami membuatkan hatinya berubah walaupun lelaki itu enam tahun lebih muda berbandingnya.

“Ciri paling penting adalah mempunyai pengalaman menjadi pengasuh kerana saya seperti kanak-kanak riang. Tiada lagi lelaki yang boleh tahan dan jinakkan saya.

“Dari situ saya sudah menghormatinya. Saya jenis wanita berdikari tetapi masih memerlukan seseorang yang boleh mengawal saya,” jelasnya.

Meskipun Reen seakan kebudak-budakan, namun mereka mempunyai persamaan dari segi perangai sehingga tidak terasa beza usia saat bersama.

Lebih manis, Reen berkongsi soal hantaran yang diminta oleh keluarganya iaitu sebuah al-Quran yang dikhatamkan semasa tempoh bertunang dan satu set barangan kemas.

“Sewaktu bertunang, ibu ada memberitahu bahawa anaknya tidak ternilai. Jadi, dia minta al-Quran yang telah dikhatam bermula tempoh bertunang dan juga satu set barang kemas.

“Ibu mahukan orang yang betul-betul boleh menghargai anaknya dan berharap dengan al-Quran tersebut boleh menjentik banyak kebaikan dalam hati pasangan saya,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI