fbpx

Shasha Abedul tak mudah melenting jika dikritik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHASHA Abedul sentiasa terbuka menerima kritikan netizen terhadap bakat lakonannya.

PETALING JAYA – Pelakon Shasha Abedul tidak kisah menerima kritikan pedas daripada netizen terhadap bakat lakonannya, bahkan terbuka hati menerima teguran untuk memperbaiki mutu kerjanya.

Bercakap kepada Kosmo! Online, Shasha, 26, berkata, sebagai pelakon dia menganggap kritikan netizen sebagai penonton adalah perkara normal yang perlu ditelan oleh anak seni sepertinya.

Malah, Shasha berpendapat netizen mempunyai hak memberikan pandangan termasuk mengkritik dirinya sebagai pelakon untuk dijadikan pembakar semangat memperbaiki mutu lakonan menjadi lebih baik.

“Saya tidak kisah dikecam. Kecaman dan kritikan itu normal. Saya pun manusia biasa yang ada kekurangan diri.

“Saya faham kalau orang nak kecam saya atau berkata yang bukan-bukan, itu hak mereka. Terpulanglah,” ujarnya.

Sudah bertapak dalam industri seni sebagai pelakon selama enam tahun, Shasha yang mencipta nama selepas menyertai program realiti On Air memberitahu masih dalam proses belajar untuk menimba ilmu dalam bidang lakonan.

“Setiap orang ada pandangan mereka masing-masing. Terima sahajalah mana yang baik dan buruk. Kalau buruk, saya akan betulkan. Mana yang baik, saya akan tingkatkan.

“Saya tidak minta pun diberi ruang untuk baiki lakonan sebab saya sendiri tahu masih banyak yang perlu dipelajari dalam bidang ini,” katanya.

Tambah pelakon drama Lelaki Lingkungan Cinta itu lagi, dia juga bukanlah seorang individu yang cepat melenting apabila dikritik walaupun dengan kata-kata pedas kerana menganggap semua itu sebagai teguran untuk dirinya.

“Saya bukan jenis orang yang sebegitu (melenting). Segala kritikan saya terima dengan hati yang terbuka,” jelasnya.

Shasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Hani yang menjadi filem pertama lakonannya sepanjang berkecimpung dalam industri.

“Hani merupakan filem pertama saya. Mungkin ada yang suka dan sebaliknya. Apa-apa pun saya bersyukur dan gembira kerana tidak sangka diberi peluang menjadi watak utama dalam filem ini.

“Watak yang saya bawakan juga berat kerana perlu bermain dengan ekspresi wajah dan emosi untuk menceritakan segala-galanya,” jelasnya.

Hani yang diarahkan Fazli Yasin merupakan sebuah filem bergenre seram berkisar kehidupan seorang pelukis komik seram bernama Hani.

Hani yang bekerja di Jepun bagaimanapun dihantui gangguan ketika menyiapkan tugasan yang diberikan oleh majikannya untuk menghasilkan komik berdasarkan sebuah patung yang mempunyai sejarah hitam dikenali sebagai Ishikoari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI