fbpx

Seorang maut, enam cedera elak ‘mat motor’ berkumpul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Proton Wira dinaiki lima remaja yang terlibat dalam nahas di Jalan Pesisiran Pantai Klebang, Melaka, awal pagi tadi.

MELAKA – Seorang remaja maut, manakala empat rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas gara-gara cuba mengelak sekumpulan ‘mat motor’ yang berkumpul di susur menuruni jejantas di Jalan Pesisiran Pantai Klebang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira pukul 4.40 pagi itu, mangsa, Mohammad Shahrul Rahman Mohd. Nasir, 17, yang merupakan penumpang di dalam kereta jenis Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan dalam perut.

Empat rakannya yang lain, Falah Nabila Mohd. Suffian, 15, mengalami kecederaan parah dan berada di Zon Merah Hospital Melaka; Putri Nurdini Izzaty, 19, (Zon Kuning); Muhammad Alias Mohd. Zaidi, 18, (Zon Hijau) dan Farid Syahmi Mohd. Al Hafez,15, juga di Zon Hijau.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Bandaraya Melaka menghala ke Sungai Udang.

“Sampai di jejambat Jalan Persisiran Pantai Klebang, kereta mangsa yang berada di lorong kiri telah ternampak satu kumpulan motosikal di hadapan semasa menuruni jejambat dan cuba mengelak ke lorong kanan.

“Bagaimanapun kenderaan itu telah hilang kawalan menyebabkannya melanggar sebuah motosikal sebelum merempuh penghadang jalan sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ujarnya, akibat kemalangan itu, seorang penumpang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan kerana kecederaan pendarahan dalam perut.

“Penunggang dan pembonceng motosikal jenis EX5 yang masing-masing berusia 14 dan 15 tahun turut mengalami kecederaan luka di siku serta lutut kanan dan kiri, manakala seorang lagi patah kaki kanan.

“Kesemua mangsa dan telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, manakala mayat si mati diserahkan ke Unit Forensik bagi proses bedah siasat,” katanya.

Katanya, spesimen darah pemandu kereta telah diambil bagi tujuan ujian alkohol serta dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI