fbpx

Saya tidak akan campur aduk urusan kerajaan, politik – Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi.

PETALING JAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan tanggungjawab beliau dan kerajaan ketika ini adalah untuk membaiki kehidupan rakyat bukannya melayan ‘perang’ dalam media sosial.

Rafizi berkata, keutamaan beliau ketika ini adalah melaras dasar-dasar dan pelaksanaan projek supaya memberi impak besar kepada rakyat dalam persediaan menghadapi ekonomi mencabar pada tahun depan.

“Saya faham perang media sosial masih panas, mainan politik Perikatan Nasional (PN) dan Pas terus berlaku.

“Tetapi tanggungjawab utama kerajaan adalah membaiki kehidupan rakyat. Masa waktu (bekerja) yang dibayar gaji oleh rakyat, saya akan tumpu kerja sebagai menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Bagaimanapun Rafizi berkata, beliau bersedia berdepan dengan PN mahupun Pas di luar waktu bekerja.

“Saya akan menjawab isu-isu yang mereka mainkan dan juga akan selaraskan supaya aktivis dan pimpinan Kerajaan Perpaduan turut sama memantau prestasi mereka sebagai pembangkang.

“Mereka ingat jadi pembangkang hanya menimbulkan sentimen kebencian.

“Mereka lupa bahawa menjadi pembangkang juga perlukan pengetahuan mengenai dasar, memantau pelaksanaan, membawa suara rakyat dengan masalah seharian mereka,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut memaklumkan bahawa beberapa perkara akan dibuat bermula minggu hadapan selepas dilantik ke jawatan Menteri Ekonomi.

Beliau akan mengeluarkan kenyataan politik sebagai Timbalan Presiden PKR untuk menggariskan perancangan bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Selain itu, saya akan menyiarkan kandungan politik supaya dapat mematahkan sentimen kebencian yang dibawa sekarang,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru kepada semua rakan politiknya agar tidak bimbang kerana segala perancangan telah disusun untuk mendepani lawan politik.

“Masa yang dibayar gaji oleh rakyat adalah tanggungjawab untuk negara dan tidak boleh digunakan untuk kerja-kerja politik.

“Masa kami sendiri (seperti waktu malam, hujung minggu dan lain-lain) adalah masa untuk berkempen supaya tidak ada campur aduk antara tanggungjawab menteri dan Timbalan Presiden parti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI