DOHA – Maghribi meneruskan kisah dongeng mereka di pentas Piala Dunia 2022 apabila wakil tunggal benua Afrika itu sekali lagi mencipta kejutan dengan melangkah ke peringkat separuh akhir.
Kejayaan pasukan No.22 dunia itu hadir menerusi kemenangan 1-0 ke atas salah satu pilihan kejohanan, Portugal pada aksi suku akhir di Stadium Al Thumama sebentar tadi.
Ia terus memahat sejarah baharu buat arena bola sepak Atlas Lions yang mana pencapaian terbaik mereka di pentas Piala Dunia adalah pusingan 16 terbaik pada edisi 1986 di Mexico.
Penyerang Sevilla, Youssef En-Nesyri muncul wira Maghribi apabila meledak gol tunggal perlawanan selepas menanduk masuk hantaran daripada Yahia Attiyat Allah pada minit ke-42.
Biarpun Portugal lebih banyak menguasai perlawanan dengan melakukan serangan bertali arus, namun skuad kendalian Fernando Santos itu gagal merobohkan kekebalan benteng pertahanan Maghribi.
Kemasukan Cristiano Ronaldo di babak kedua juga gagal menghadirkan impak positif apabila jentera serangan diketuainya tidak berjaya menewaskan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou.
Ketua jurulatih Maghribi, Walid Regragui membuat percaturan berani apabila mengeluarkan En-Nesyri dengan membawa masuk ramai pemain pertahanan bagi menyukarkan Portugal mendapatkan gol penyamaan.
Keputusan itu menuai hasil lumayan apabila para pemain Portugal terutama Bruno Fernandes dan Bernardo Silva bergelut untuk mencari ruang sehinggakan terpaksa melakukan percubaan rambang.
Biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Walid Cheddira dilayangkan kad merah pada minit ke-94, namun Portugal gagal mengambil kesempatan itu dalam tempoh baki empat minit terakhir permainan.
Kemenangan itu amat manis buat Maghribi yang kini selangkah sahaja lagi ke final dan bakal bertemu pemenang antara Perancis dan England di separuh akhir di Stadium Al Bayt awal pagi Khamis ini.
Bukan itu sahaja, kejayaan Maghribi secara tidak langsung meranapkan impian Ronaldo untuk menjulang kejuaraan sulung Piala Dunia sebelum menutup kariernya di pentas antarabangsa. – KOSMO! ONLINE