DOHA – Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic menegaskan perjuangan mereka masih belum berakhir selepas pasukan itu melakukan kejutan menewaskan juara lima kali, Brazil di pentas Piala Dunia Qatar 2022 menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi semalam.
Pada aksi suku akhir tersebut, penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic sekali lagi menjadi wira apabila menjadi nadi kemenangan pasukannya ketika menundukkan Brazil 4-2 pada penentuan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit perlawanan.
Kemenangan tersebut menggembirakan lebih 3.9 juta rakyat Croatia dan membuktikan mereka adalah pasukan pencabar di pentas Piala Dunia selepas berjaya menumpaskan pasukan pilihan juara berkenaan.
“Ini adalah kemenangan untuk rakyat Croatia. Kami mempamerkan perlawanan yang menarik dan kami berjaya menyingkirkan pasukan yang dianggap pilihan untuk menjadi juara kali ini.
“Ini adalah Croatia, kebanggaan, keberanian, kepercayaan dan patriotisme,” kata Dalic.
Dalic berkata, kejayaan mereka membenam Brazil membuktikan kemampuan sebenar pasukan kendaliannya meskipun beraksi dalam tekanan paling hebat.
“Croatia akan menjadi pasukan yang terbaik apabila diperlukan. Croatia sentiasa akan berjaya dan tiada siapa harus memandang rendah terhadap kemampuan kami.
“Apapun, perjuangan kami belum berakhir, kami perlu bergerak ke hadapan. Kami boleh melakar lebih banyak kejayaan,” katanya.
Hasil kemenangan tersebut, Croatia akan berdepan Argentina selepas berjaya menewaskan Belanda pada aksi separuh akhir pagi semalam. – AGENSI