IPOH – Kerajaan negeri Perak bakal menggunakan khidmat ‘influencer’ atau pempengaruh untuk melihat potensi dan membantu usahawan mikro menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Salbiah Mohamed berkata, kerajaan negeri akan mengadakan program Usha Usahawan bagi membantu usahawan mikro yang memerlukan.
“Usaha ini bagi membantu usahawan-usahawan mikro yang memerlukan modal permulaan kerana kebanyakan mereka terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Peniaga-peniaga ini amat mengharapkan bantuan terutamanya daripada kerajaan negeri untuk kembali mula berniaga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pemberian Sumbangan dan Pelancaran Kumpulan Kebajikan Sayang Safura di sini hari ini.
Menurut Salbiah, pihaknya akan berbincang dengan peniaga dan beberapa pempengaruh TikTok dan YouTube untuk melihat potensi usahawan-usahawan serta masalah yang dihadapi melalui program Usha Usahawan.
“Dengan melakukan pendekatan secara turun padang, kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi untuk melihat dan mengenal pasti masalah peniaga mikro yang saya rasa waktu inilah mereka mengharapkan bantuan daripada kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, dalam program hari ini, kedai emas Safura di Medan Gopeng di sini melancarkan Majlis Pemberian Sumbangan dan Pelancaran Kumpulan Kebajikan Sayang Safura bagi berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
Pengasasnya, Bibi Safura Ghulam Hyder berkata, sebanyak 600 pek ayam percuma diberikan kepada penduduk di sekitar kawasan Sungai Rokam. – KOSMO! ONLINE