fbpx

Peniaga mengeluh, ramai tak beli sayur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GERAI menjual sayur-sayuran di RTC Tunjong, Kota Bharu semalam kurang mendapat sambutan daripada pelanggan disebabkan harganya yang melambung tinggi.

KOTA BHARU – Kebanyakan peniaga sayur-sayuran di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini mengeluh selepas tersepit dengan harga bekalan yang tinggi daripada pemborong.

Keadaan itu didakwa berlaku akibat musim tengkujuh apabila mereka terpaksa menaikkan harga jualan sayur sehingga dua kali ganda sejak seminggu lalu.

Tinjauan Kosmo! Ahad di RTC Tunjong mendapati harga sayur-sayuran seperti sawi, cili dan kailan meningkat sehingga menyebabkan orang ramai kurang membeli bahan mentah itu.

Seorang peniaga, Idris Mamat, 45, berkata, dia sebelum ini menetapkan sawi dan kailan pada harga RM3.50 sekilogram kini menjual kedua-dua sayur-sa­yuran itu pada harga RM7.

Ujarnya, dia tidak boleh lari daripada menaikkan harga kera­na pemborong sudah meletakkan harga mahal kepada peniaga RTC Tunjong.

“Keadaan itu menyebabkan kebanyakan pengguna merungut apabila sampai ke sini.

“Ada antara mereka membeli pada kuantiti yang sedikit, namun kebanyakannya tidak mahu membeli sayur-sayuran,” kata­nya ketika ditemui semalam.

Seorang peniaga, Rosman Abdullah, 55, berkata, harga timun yang ditetapkan ketika ini adalah RM16 untuk 7 kilogram dan ia menunjukkan peningkatan apabila harganya RM10 beberapa bulan lalu.

Menurutnya, bekalan sayur-sayuran di gerainya dibeli daripada pemborong di Pasir Puteh dan Bachok, dekat sini.

“Ada beberapa jenis sayur import yang kita peroleh daripada pemborong dari Thailand se­perti cili dan tomato. Harga yang ditetapkan semua pemborong ketika ini tinggi dan mereka jadikan alasan sayur kurang semasa musim tengkujuh,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Hasnah Che Soh, 57, berkata, dia me­ngakui jualan di gerainya merosot kebelakangan ini kerana harga sayur meningkat mendadak.

“Orang ramai lebih berminat untuk membeli ulam-ulaman kampung seperti kacang botol, ulam raja dan pucuk paku sebagai sayur-sayuran kerana lebih murah iaitu dijual pada harga RM1 hingga RM2 seikat,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­langgan di RTC Tunjong, Zidah Mat, 40, berkata, dia juga lebih berminat untuk membeli ulam-ulaman kerana harganya lebih berpatutan berbanding sayur-sayuran lain. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI