PENGENDALI negara, Kim Pan- gon mengakui berbangga dengan usaha dilakukannya untuk mengukuhkan benteng pertahanan Harimau Malaya sebelum menghadapi tugasan getir di Piala Asia tahun depan.
Berdasarkan apa yang dipersembahkan ketika menewaskan Kemboja 4-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, Pan-gon juga mula mengadunkan resipi utama kejayaan di kecapi Korea Selatan selama ini.
Biarpun berdepan kekangan dan kesukaran untuk mendapatkan pemain terbaik, Pan-gon berjaya membuktikan dirinya sebagai jurulatih yang berkualiti apabila mampu mengolah adunan muka baharu dan lama dengan cukup sempurna.
Bagaimanapun, Pan-gon memuji persembahan para pemainnya sambil memberikan penghargaan kepada penyokong yang sentiasa hadir ke stadium biarpun negara dilanda ‘demam’ Piala Dunia.
“Saya tidak jangka dapat empat gol kerana skuad kali ini hanya ada masa singkat untuk bersama. Namun, hari demi hari kita dapat lihat peningkatan dan mereka begitu profesional hingga mampu sesuaikan diri dengan lebih cepat.
“Secara umumnya, saya juga begitu hargai pemain kerana tanpa mereka, sudah pasti saya juga tidak boleh buat kerja ini. Saya katakan kepada pemain, saya begitu bangga dengan kamu yang sudah tunjukkan tahap profesional.
“Saya juga hargai penyokong kerana masih datang sokong kami walaupun ketika ini berlangsungnya Piala Dunia,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Faisal Halim yang menggalas tugas selaku kapten terus memenuhi harapan apabila menyumbangkan dua gol diikuti satu jaringan daripada bintang naturalisasi baharu negara, Lee Tuck dan Stuart Wilkin.
“Mereka sudah melakukannya dan saya begitu bangga dengan tahap profesional pemain. Ada kesilapan yang berlaku, jadi kami perlu tingkatkan lagi standard permainan.
“Jika kami tidak bersedia dan baiki kesilapan, sudah pasti kami akan sengsara di Piala AFF nanti,” katanya.