KUALA NERUS – Sebahagian nelayan di sini nekad menggadai nyawa untuk turun ke laut walaupun berdepan dengan cuaca buruk yang menyebabkan laut bergelora, ombak tinggi dan hujan lebat sepanjang musim tengkujuh ketika ini.
Nelayan di Terengganu termasuk di Tok Jembal di sini mengakui, tindakan itu perlu diambil bagi memastikan mereka tidak hilang pendapatan selama berbulan walaupun keselamatan mereka menjadi taruhan kepada ancaman semulajadi tersebut.
Seorang nelayan, Mohd. Nazarudin Abdullah, 47, berkata, dia tetap memberanikan diri turun ke laut kelmarin kerana tidak mahu keluarganya kelaparan akibat kehabisan duit belanja.
“Ketika ramai nelayan pasrah untuk tak turun menangkap ikan, saya beranikan diri kerana tidak mahu pendapatan saya terputus. Saya tiada pilihan.
“Hanya ini sumber utama keluarga kami sejak 34 tahun lalu. Saya nekad turun semalam (kelmarin) tetapi terpaksa pulang ke jeti tak lama kemudian selepas bot dipukul ombak setinggi hampir tiga meter di tengah laut,” kata bapa kepada enam anak itu.
Menurut Mohd. Nazarudin, keadaan itu tidak membuatkan dia serik dan akan terus mencuba untuk ke laut jika cuaca mengizinkan tidak lama lagi.
Seorang lagi nelayan, Che Ghani Abdullah, 58, juga mengakui turut nekad turun ke laut untuk menangkap ikan awal minggu ini.
“Laut sangat bergelora dan ombak tinggi. Hasil tangkapan juga tidak lah seberapa sangat.
“Saya bercadang untuk mencari pekerjaan sambilan bagi menampung kehidupan sementara menunggu musim tengkujuh berakhir pada bulan Mac depan,” katanya. -KOSMO! ONLINE