KAHERAH – Sebanyak 1,200 masjid baharu dibuka di seluruh Mesir tahun ini, demikian menurut kementerian yang menguruskan hal ehwal agama, Kementerian Awqaf seperti dilaporkan akhbar Arab News semalam.
Setiausaha kementerian berkenaan, Ayman Omar berkata, masjid-masjid baharu itu dibiayai oleh Kementerian Awqaf, manakala beberapa yang lain dibina secara swasta dengan seliaan kerajaan.
Menurut beliau, sejak September 2020, sebanyak 2,712 masjid baharu telah dibuka di Mesir dengan 404 telah dinaik taraf.
Ini menjadikan sejumlah 9,600 masjid telah dibina atau dinaik taraf dengan melibatkan kos sebanyak AS$400 juta (RM1.8 bilion) sejak Presiden Abdel Fattah El-Sisi memegang jawatan pada Jun 2014.
Sementara itu, seorang pegawai kementerian, Sheikh Rafi Al-Sayed berkata, 2,451 masjid kini bergabung di bawah Kementerian Awqaf dengan 1,391 daripadanya adalah sementara.
“Ini mengubah kata-kata bahawa Kaherah adalah kota seribu menara, sedangkan kita memiliki lebih daripada itu,” ujarnya. – Agensi