LANGKAWI – Industri pelancongan di sini mula rancak dengan ketibaan cuti sekolah penggal ketiga selama tiga minggu bermula minggu ini.
Tinjauan dalam kalangan penggiat industri pelancongan di sini mendapati, kebanyakannya telah menerima tempahan sehingga 60 peratus untuk penginapan, kereta sewa dan tempat tarikan pelancong.
Seorang pengusaha kereta sewa, Muhamad Amirul Amar, 35, dia telah menerima tempahan kereta sewa seawal Oktober lalu bagi cuti sekolah kali ini.
“Setakat ini lebih 10 buah kereta telah habis ditempah untuk dua minggu pertama cuti sekolah.
“Saya jangkakan tempahan akan penuh pada minggu terakhir cuti sekolah apabila orang ramai hendak menghabiskan cuti sekolah di Langkawi,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Operasi Kampung Guest House, Mohd. Farizal Padzil, 42, pula, dia telah menerima tempahan sehingga 60 peratus daripada jumlah bilik yang ada.
“Sebelum pandemik, biasanya semua bilik sudah habis ditempah tidak lama sebelum cuti sekolah bermula.
“Tetapi kali ini kami menerima tempahan yang agak banyak berbanding waktu cuti sekolah semasa pandemik sebelum ini, dan kami harap situasi ini bertambah baik sehingga industri pelancongan pulih sepenuhnya,” ujarnya.
Selain itu, ejen pelancongan, Mohamad Azzuddin Azmi, 34, berkata, kemasukan pelancong akan sedikit terjejas sekiranya perjalanan feri tidak ditambah.
“Rugilah kalau syarikat feri tidak tambah feri semasa cuti sekolah, kerana masih ramai pelancong tempatan akan memilih Langkawi sebagai destinasi percutian mereka,” katanya. -KOSMO! ONLINE