KUALA SELANGOR – Seorang kanak-kanak lelaki menahan azab lebih 50 minit apabila kaki kirinya tersepit dalam lubang tandas rumahnya di Taman Sri Rambai di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu melibatkan mangsa berusia tujuh tahun, namun berjaya diselamatkan bomba.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 8.31 malam.
Katanya, sepasukan enam anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor Klang dikerah dalam operasi menyelamat berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati kanak-kanak terduduk dengan keadaan kakinya masih tersepit dalam lubang tandas cangkung itu.
“Anggota bomba kemudian terpaksa bertindak memecahkan mangkuk tandas itu dengan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Norazam, mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan pukul 9.11 malam. – KOSMO! ONLINE