fbpx

Jadi mentor Raja Viral, Pak Nil kesal ‘content’ melampau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAGAI mentor, Pak Nil mengambil tanggungjawab membimbing semua peserta Raja Viral agar dapat menjadi contoh baik kepada anak-anak muda yang aktif dalam dunia kandungan digital.

PETALING JAYA – Susulan tular sebuah video memaparkan seorang TikToker melempar sebiji kek pada muka seorang wanita semalam, pengacara tersohor Aznil Nawawi tampil meluahkan kekesalan.

Hal ini kerana, kejadian tersebut turut mengheret namanya kerana beliau merupakan mentor untuk program yang disertai TikToker terbabit iaitu Raja Viral.

Ujar Aznil atau mesra disapa Pak Nil, beliau kesal dengan kejadian yang berlaku kerana peserta program tersebut sudah diingatkan agar tidak melakukan ‘prank’ seperti yang dilakukan di negara luar.

“Selaku mentor, saya sangat kesal dengan kejadian ini. Saya dah cakap kepada mereka, ‘prank’ kita tak boleh sama dengan orang di negara lain.

“Kita ada tanggungjawab terhadap budaya, adab dan agama. Kita masih tertakluk pada tatasusila. Itu yang saya sangat utamakan,” katanya.

Jelas Pak Nil, program tersebut merupakan projek untuk tayangan menerusi TikTok dan YouTube dengan tujuan agar anak-anak muda yang berkecimpung dalam dunia kandungan digital mampu menghasilkan isi berkualiti.

“Peserta-peserta hanya tertakluk pada panduan komuniti yang disediakan oleh TikTok. Seandainya TikTok lihat sesuatu kandungan itu tidak mengganggu gugat komuniti, video tersebut masih ada dalam akaun peserta.

“Tetapi atas alasan apa sekali pun, ini satu perkara yang tak boleh dipandang ringan. Kita harus tunjuk cara kita. Sekali lagi, mewakili produksi Raja Viral, saya mohon maaf.

“Harap apa yang berlaku dijadikan pengajaran kepada semua peserta,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik menerusi Instagram.

Sementara itu menerusi video berbeza, Pak Nil memaklumkan, kejadian ‘prank’ tersebut sebenarnya merupakan lakonan yang dirancang oleh TikToker itu yang dikenali sebagai Daing Iskandar.

Ujarnya, kesemua individu yang berada di tempat kejadian sebenarnya dibayar oleh Daing termasuklah wanita yang dilempar kek, anaknya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta ibu kepada wanita itu.

“Rupa-rupanya dia bayar semua orang yang ada di situ. Itu di luar pengetahuan saya. Jadi ini bukanlah ‘prank’ untuk orang awam.

“Silapnya, dia tak dedahkan ‘prank’ itu adalah lakonan semata-mata. Saya tanya dia, apa tujuannya buat semua itu. Jawabnya, untuk lakukan eksperimen sosial nak tengok ada tak orang di sekeliling datang tangkap pelaku,” kata Pak Nil.

Semalam, pengguna media sosial mengecam tindakan seorang TikToker yang memuat naik sebuah video ‘prank’ membaling sebiji kek ke muka seorang wanita di sebuah taman rekreasi.

Video tersebut bagaimanapun sudah dipadam oleh TikToker itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI