fbpx

Dua keluarga nyaris ditimbus tanah runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan runtuhan tanah menjejaskan dua rumah didiami dua keluarga di Kampung Mela, Lipis semalam.

LIPIS – Dua keluarga nyaris ditimbus tanah runtuh dalam kejadian ketika hujan lebat di Kampung Mela di sini semalam.

Seorang penduduk, Abdul Aziz Idris, 51, berkata, kejadian kira-kira pada pukul 7.30 petang itu berlaku ketika dia dan keluarganya sedang menonton televisyen selepas menunaikan solat Maghrib.

“Ketika kami berada di dalam rumah hujan begitu lebat dan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian dapur dan anak mula menjerit ketakutan.

“Saya bergegas ke dapur dan mendapati pintu (dapur) telah terbuka dengan sebahagian runtuhan tanah telah masuk ke dalam rumah serta tanah hampir menutupi ruang belakang,” katanya d sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz, dia segera membawa isteri dan tujuh anaknya keluar dalam keadaan hujan kerana bimbang runtuhan tanah berulang kemungkinan menghempap keseluruhan rumah.

Keadaan dua rumah didiami dua keluarga yang terjejas akibat tanah runtuh susulan hujan lebat.

“Saya membawa keluarga menumpang bermalam di rumah ibu di Kampung Limau Purut terletak berdekatan sebelum kerja pembersihan dan membaik pulih dilakukan.

Dalam pada itu jiran Abdul Aziz, Mohamad Sayuti Zulkafli, 30, berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu bersama tiga anaknya menonton televisyen.

“Kejadian ini sama seperti jiran saya apabila tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat dari arah dapur dan keseluruhan rumah sewa ini bergegar di bahagian bumbung dan atap.

“Anak yang duduk berdekatan mula menangis ketakutan dan saya bangun terus ke dapur serta melihat sebahagian tanah sudah memenuhi ruang dapur dan air hujan mengalir masuk,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu merupakan pertama kali berlaku dan amat menakutkan yang berkemungkinan berpunca aliran air menuruni bukit ketika hujan lebat.

“Saya bersyukur kerana semua ahli keluarga termasuk jiran saya selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan dan berharap dapat kembali semula ke rumah ini selepas kerja pembersihan hari ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI