KUALA NERUS – Dua orang ibu yang mempunyai pertalian keluarga terpaksa berpantang di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nanas di sini setelah rumah mereka dinaiki air sejak kelmarin.
Nurul Nadiah Abdul Fatah, 29, berkata, dia tidak menyangka hasrat berpantang bersama kakak ipar, Sharina Sabry, 39, di rumah ibu mentuanya di Kampung Padang Hangus di sini bertukar menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan.
Menurutnya yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan, dia pulang ke kampung suaminya setelah melahirkan anak kedua, Muhammad Aaron Maleeq pada 14 November lalu.
“Hari ke-26 saya berpantang semalam (kelmarin), kami dikejutkan dengan rumah mentua tiba-tiba ditenggelami banjir sedalam kira-kira 0.5 meter.
“Ini menyebabkan saya dan kakak ipar bersama bayi kami serta 13 ahli keluarga lain terpaksa berpindah ke PPS ini,” katanya ketika ditemui di PPS SK Bukit Nanas di sini semalam.
Sementara itu, Sharina yang berpantang anak ketiga nekad mengharung banjir bersama bayi lelakinya, Nuh Nabhan Mohd. Hishamudin berusia 44.
“Kalau nak diikutkan, ini kali kedua rumah kami dinaiki air, namun kali ini lebih mencabar kerana saya dan adik ipar (Nurul Nadiah) dalam keadaan berpantang.
“Apatah lagi tahap kesihatan ibu mentua juga tidak berapa mengizinkan.
“Alhamdulillah semuanya selamat termasuk dua bayi kami,” katanya.
Sharina berkata, walaupun kurang selesa terutama buat bayi mereka, dia bersyukur dapat menumpang teduh di PPS sementara menunggu banjir surut.
Tambahnya, sukarelawan PPS amat mengambil berat kebajikan dia dan adik iparnya yang sedang berpantang.
“Alhamdulillah, kami disajikan menu berpantang seperti ikan panggang dan sup sayur,” katanya. -KOSMO! ONLINE