LANGKAWI – Mayat dua beradik ditemui lemas tidak jauh dari lokasi mereka dilaporkan hilang di Pantai Chenang di sini semalam.
Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd. Zamri Abdul Ghani berkata, mangsa pertama, Juwaras Rajan, 22, ditemui di pesisir Pantai Chenang kira-kira satu kilometer dari Dataran Chenang pada pukul 8.40 malam semalam.
“Mangsa kedua, Ravishangkar Rajan, 26, ditemui tidak jauh dari mangsa pertama pada pukul 12.40 tengah malam tadi.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kosmo! semalam melaporkan dua lelaki hilang dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti pantai di Pantai Chenang pada petang semalam.
Manakala seorang rakan mereka berjaya diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM). – KOSMO! ONLINE