fbpx

Batal tempahan hotel ekoran banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUSAHA penginapan di Terengganu mula menerima pembatalan tempahan daripada pelancong berikutan banjir yang melanda negeri itu. - GAMBAR HIASAN

KUALA TERENGGANU – Banjir yang mula melanda Terengganu sejak kelmarin memberi impak negatif segera kepada industri pelancongan negeri itu.

Kebanyakan pengusaha hotel, resort dan inap desa di negeri ini mula menerima pembatalan tempahan bilik penginapan pada saat-saat akhir berikutan banjir terbabit.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun berkata, berdasarkan maklum balas, ahli-ahlinya menerima lebih 10 peratus pembatalan bilik penginapan sejak kelmarin.

“Kebanyakan pelanggan memberi alasan tidak jadi me­lancong ke Terengganu pada waktu ini kerana bimbang de­ngan risiko banjir.

“Pembatalan akibat panik itu menyebabkan purata kadar penginapan di hotel dan resort di negeri ini merosot mendadak sehingga cuma 25 peratus,” katanya ketika dihubungi semalam.

Suaibah berkata, walaupun tidak menyalahkan tindakan pengunjung melakukan pembatalan tersebut, namun kebimbangan mereka bukanlah gambaran sebenar situasi banjir di Terengganu pada masa ini.

Jelas beliau, sebenarnya bukan keseluruhan negeri ini ditenggelami banjir malah sebahagian besar kawasan tumpuan pelancongan masih selamat untuk dikunjungi.

“Antara yang masih boleh dilawati ialah Pasar Besar Kedai Payang, Muzium Negeri Terengganu, Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal dan kilang pembuatan produk batik.

“Begitu juga dengan ‘pemburu makanan’ dialu-alukan datang ke Terengganu kerana premis makanan tradisional seperti nasi dagang, nasi ke­rabu, laksam dan keropok lekor masih beroperasi seperti biasa,” katanya katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman juga mengakui menerima banyak pembatalan bilik penginapan saat-saat ak­hir sejak kelmarin.

“Persepsi tidak tepat ini kerap membelenggu pemain industri pelancongan Terengganu setiap kali musim tengkujuh saban tahun,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI