TELUK INTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menggunakan dua anjing pengesan (K9) dalam operasi mencari dan menyelamat lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh di Sungai Perak berhampiran Jeti Dataran Udang Galah di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, operasi mencari mangsa berusia 41 tahun itu dijalankan dalam radius dua kilometer dari lokasi rakannya yang dijumpai selamat.
Katanya, berdasarkan maklumat orang awam yang memancing di Jeti Nelayan Darat, mangsa dilihat dihanyutkan arus dalam jarak 100 meter dari jeti.
“Anjing pengesan ‘Lady’ dibawa menaiki bot diiringi dua anggota bomba pada 1.56 tengah hari dan berjaya mengesan satu ‘spot’ pada jarak 130 meter dari lokasi mangsa pertama dijumpai.
“Pencarian kali kedua oleh anjing K9 ‘groosc’ kira-kira satu jam kemudian juga mengesan lokasi sama yang dipercayai potensi kedudukan mangsa berada,” katanya di sini hari ini.
Katanya, operasi selaman itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan ekoran cuaca buruk dan paras air sungai semakin tinggi dan deras.
Terdahulu, seorang lelaki dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama rakannya terbalik ketika memancing di Sungai Perak berhampiran Jeti Dataran Udang Galah di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE