PETALING JAYA – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengeluarkan amaran potensi berlakunya tanah runtuh di beberapa kawasan ‘hotspot’ di empat negeri, hari ini.
JMG berkata kawasan ‘hotspot’ tanah runtuh yang mengalami amaran hujan berterusan tahap buruk melibatkan Kelantan (Tanah Merah, Lojing Gua Musang, Felda Aring) dan Terengganu (Marang, Dungun, Kenyir-Kuala Berang).
“Amaran yang sama turut dikeluarkan di Perak (Lebuhraya Timur-Barat) dan Pahang (Cameron Highlands, Kuala Lipis, Temerloh) yang mengalami amaran hujan berterusan tahap waspada,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah JMG, ia berikutan amaran hujan berterusan mengikut tahap buruk dan waspada yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) petang semalam, berpotensi berlakunya ancaman tanah runtuh di negeri-negeri tersebut.
JMG juga menasihatkan penduduk-penduduk yang berada di kawasan ‘hotspot’ agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling serta waspada terhadap tanda-tanda berlakunya ancaman tanah runtuh di kawasan kediaman masing-masing.
“Langkah kewaspadaan ini perlu dikekalkan dalam tempoh dua hingga tingga hari walaupun selepas hujan berterusan telah berhenti.
“Ia disebabkan keadaan tanah yang telah berlaku atau mengalami peresapan air sebelumnya boleh mencetuskan terjadinya tanah runtuh terutamanya di lereng-lereng bukit yang curam yang berkecerunan 25 darjah ke atas,” katanya. – KOSMO! ONLINE