PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di beberapa perairan negara hingga Selasa ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya berkata, angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan timur laut Condore (barat laut Reef North).
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
“Kami turut menjangka angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter terjadi di kawasan perairan barat laut dan tenggara Condore (timur laut) dan barat daya Reef North (Layang-Layang, dan barat Palawan),” katanya.
Jelasnya, situasi ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Sementara itu, angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter juga dijangka berlaku di kawasan perairan barat daya Condore (tenggara Reef North) dan Labuan (timur Palawan) dimana ia berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi serta sukan laut.
“Seterusnya, MetMalaysia meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka, Samui, Tioman, Condore, Bunguran, Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan, Palawan, Sulu dan Sulawesi sehingga pukul 9 pagi ini.
“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil,” katanya.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, angin kencang dan hujan lebat di Pahang (Lipis, Jerantut, Kuantan, Pekan), Johor (Batu Pahat, Pontian, Kulai, Johor Bahru) dan Sabah (Pantai Barat (Putatan), Kudat (Pitas, Kudat) sehingga pukul 9 pagi ini. – KOSMO! ONLINE