fbpx

Video ‘prank’ tekup muka guna kek, hanya lakonan semata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar permohonan maaf daripada Daing Iskandar bersama ibu angkatnya petang tadi.

PETALING JAYA – Pencipta kandungaan digital, Daing Iskandar Mohd Tahir tampil membuat permohonan maaf kepada pihak yang terkesan dengan video ‘prank’ sebelum ini yang menekup muka seorang wanita menggunakan kek di sebuah taman rekreasi.

Menerusi video permohonan maaf yang dimuat naik di TikTok miliknya petang tadi, Daing menyatakan video prank berkenaan hanyalah lakonan semata-mata dan bertujuan untuk melihat reaksi orang awam apabila menghadapi situasi sedemikian.

“Saya mengambil tanggungjawab penuh di atas baik dan buruk terhasil daripada hantaran video itu.

“Saya ambil iktibar atas kekhilafan ini dan memohon kepada semua pihak agar tidak meniru aksi `prank’ seperti itu,” katanya.

Menurutnya, wanita yang menjadi ‘mangsa’ dalam video tersebut adalah ibu angkatnya sendiri.

“Pada masa sama, sebenarnya kita bukan nak ‘prank’ Mak ni, tetapi orang yang berada di sekeliling. Mak terkejut sebab tiada yang ambil peduli,” katanya.

Dalam hantaran video sama, ibu angkatnya mengaku ditawarkan menjadi pelakon bagi menjayakan projek video berkenaan supaya dapat membantu memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Saya diberi tugas melakonkan watak sebagai ibu membawa anak Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mana saya dikenakan `prank’ menggunakan kek.

“Saya berharap dengan pengakuan ini akan menjernihkan keadaan. Saya minta maaf sekiranya lakonan atau `prank’ itu mengguris hati rakyat Malaysia dan berharap kamu semua maafkan kami. Insya-Allah kami tidak akan lakukan lagi,” jelasnya.

Wanita berkenaan juga turut memohon orang ramai agar berhenti mengecam atau mengugut anak angkatnya setelah video terbabit tular sehingga mencetuskan amarah dalam kalangan pengguna media sosial.

“Saya sayang dia, saya harap benda ini tidak berterusan dan anda semua jangan terlalu mengikut emosi kerana lakonan ini hanya bertujuan untuk memberi kesedaran kepada semua,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI