PETALING JAYA – Juruteknologi makmal perubatan yang dikenali sebagai Bakar Bahrom tampil memberikan pandangannya berkenaan adat berpantang Melayu.
Bakar Bahrom menerusi akaun TikToknya @dodosentoso berkata, kaedah berpantang secara tradisional seperti bertangas dan sebagainya tidak menjadi isu selagi ia tidak memudaratkan kesihatan dan tuan badan gembira dengan keputusan diambilnya.
“Bagi saya, kaedah berpantang itu adalah bergantung kepada tuan badan itu sendiri. Samaada mereka ingin mengamalkan kaedah tradisional seperti berurut, bertangas serta berstokin, maka itu bergantung kepada pilihan mereka.
“Sebenarnya apabila kita berstokin, terdapat golongan yang bertindak mengecam anda kerana kononnya akan menyebabkan darah membeku.
“Mandi herba dan sebagainya juga tidak menjadi masalah asalkan gaya pemakanan mereka sihat, pengambilan air yang mencukupi dan ia tidak memudaratkan serta tuan punya badan berasa gembira dengan keputusan mereka maka terpulang,” jelasnya.
Tambahnya, ia merupakan perkara biasa untuk proses penyembuhan dan merehatkan tubuh badan setelah melaluo perjalanan kehamilan selama sembilan bulan lebih yang tidak mudah.
“Mereka mengalami peningkatan dan penurunan hormon, badan terasa sakit, sakit mengandung (morning sickness), kepayahan sewaktu melahirkan, dan sebagainya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui.
“Maka itu, setelah melahirkan anak, tidak menjadi masalah jika mereka ingin menjalani proses penyembuhan berpantang secara berselang-seli atau berpantang terus asalkan mereka gembira dan ia tidak memudaratkan kesihatan.
Jelasnya lagi, memang benar terdapat makanan yang tidak boleh dimakan sewaktu tempoh berpantang tetapi tidak semua makanan tidak boleh di makan.
“Mereka sentiasa mempunyai pilihan lain yang boleh dimakan sepanjang tempoh berpantang tersebut dan bukannya seperti khabar angin yang mengatakan semua makanan tidak boleh diambil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.