DOHA – Pasukan Maghribi berpeluang untuk mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi negara pertama dari benua Afrika mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2022 menjelang aksi bertemu Portugal pada pusingan suku akhir malam ini.
Sebagai rekod, The Atlas Lions telah mencipta sensasi tersendiri apabila menjuarai Kumpulan F meskipun diundi dalam kumpulan maut bersama Belgium, Croatia dan Kanada sebelum menyingkirkan juara edisi 2010, Sepanyol di peringkat 16 terbaik.
Keputusan tersebut menyaksikan Maghribi menjadi negara keempat daripada benua Afrika layak ke kelompok lapan terbaik sepanjang sejarah penganjuran Piala Dunia selepas Cameroon pada edisi 1990, Senegal (2002) dan Ghana (2010).
Pengendali Maghribi, Walid Regragui optimis dengan potensi yang bakal dikecapi oleh anak-anak buahnya meskipun berdepan cabaran sukar untuk menyingkirkan pasukan pilihan, Portugal di Stadium Al Thumama nanti.
Kata Regragui, kekuatan sebenar pasukan terletak kepada sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh seluruh peminat Maghribi di serata dunia khususnya daripada bangsa Arab dan warga benua Afrika.
“Apa yang telah kita kecapi sepanjang kejohanan ini tidak akan menjadi realiti tanpa sokongan yang diberikan oleh peminat. Kini, saya menyeru agar mereka untuk terus teguh berada di belakang pasukan kami pada aksi suku akhir nanti.
“Kami masih ada satu lagi perlawanan yang perlu diharungi sebelum melakar sejarah baharu Piala Dunia. Harus diingat, kita bukan sahaja mewakili negara sendiri, malah turut membawa nama bangsa Arab dan benua Afrika.
“Justeru, saya mahu pemain mengubah mentaliti mereka dalam usaha mencipta kemenangan dan andai berjaya ke pentas separuh akhir, kenapa tidak kita meletakkan sasaran lebih tinggi dengan bergelar juara,” katanya.
Sementara itu, kem utama skuad Maghribi agak resah apabila beberapa tonggak penting masih belum cergas sepenuhnya untuk mengharungi aksi suku akhir menentang Portugal malam ini.
Antara yang mengalami kecederaan ketika bertemu Sepanyol sebelum ini adalah Nayef Aguerd, Sofyan Amrabat dan kapten pasukan, Romain Saiss. – AGENSI