PONTIAN – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Kewangan suatu amanah yang besar yang perlu digalas.
Ahmad yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian berkata, beliau akan melakukan yang terbaik demi rakyat dan negara.
“Mohon doakan agar saya diberi kekuatan dan petunjuk dalam menghadapi pelbagai cabaran,” katanya dalam catatan Twitternya malam semalam.
Turut dilantik ke jawatan yang sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam dari Pakatan Harapan (PH), Steven Sim Chee Keong.
Malam semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai 27 timbalan menteri yang melengkapkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau.
Anwar berkata, senarai nama timbalan menteri dipilih ini selepas perbincangan dibuat bersama dengan semua ketua-ketua parti dan mengambil kita perwakilan dari semua wilayah, wanita dan kalangan muda.
Beliau berkata, senarai nama itu juga telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong petang tadi dan istiadat angkat sumpah akan diadakan di Istana Negara pada pukul 3 petang esok.
Ahmad, 56, sebelum ini pernah menjawat Jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industi di bawah Kabinet Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15), Ahmad memenangi kerusi Parlimen Pontian dengan majoriti 5,758 undi.-KOSMO! ONLINE.