LONDON – Pemain bola sepak lebih berisiko mengalami kemerosotan kesihatan otak pada usia melebihi 65 tahun berbanding populasi umum, demikian menurut satu kajian yang diterbitkan semalam.
Dinamakan SCORES, kajian berpangkalan di Universiti Anglia Timur, timur England itu menggunakan sistem online untuk menilai fungsi kognitif individu dan memantau penurunan kesihatan otak.
Projek itu melibatkan 145 pemain bola sepak profesional termasuk bekas penyerang Crystal Palace, Mark Bright dan dua bekas pemain kelab Norwich, Jeremy Goss serta Iwan Roberts.
Walaupun penyelidik-penyelidik mendapati pemain bola sepak dalam kumpulan umur 40 tahun hingga 50 tahun menunjukkan prestasi lebih baik dalam penilaian berbanding populasi umum, ini tidak berlaku apabila mereka semakin berusia.
Data laporan SCORES itu menyusuli kajian FIELD oleh Universiti Glasgow. Kajian FIELD mendapati pemain bola sepak adalah tiga setengah kali ganda lebih cenderung untuk mati akibat penyakit neurodegeneratif berbanding populasi umum yang sama umurnya.
Penyelidikan itu juga mengundang kembali gesaan supaya pemain bola sepak lebih dilindungi daripada gegaran otak dan kesan jangka panjang akibat perbuatan menanduk bola berulang kali.
Walaupun latihan fizikal yang dikaitkan dengan pemain bola sepak dapat membantu pemain mengekalkan kesihatan otak mereka beberapa tahun selepas persaraan, manfaat itu merosot dari semasa ke semasa.
“Apabila mereka mencapai usia 65 tahun, ketika itulah keadaan mula menjadi tidak kena.
“Bekas pemain bola sepak yang berumur lebih 65 tahun menunjukkan prestasi lebih teruk apabila dinilai untuk perkara seperti masa tindak balas, fungsi eksekutif dan navigasi spatial. Ini adalah tanda amaran awal kesihatan otak yang merosot,” kata ketua penyelidik SCORES, Dr. Michael Grey.
Keluarga bekas pemain England, Nobby Stiles merupakan antara kumpulan pemain dan waris mereka yang merancang menyaman Persatuan Bola Sepak kerana gagal melindungi pemain daripada kecederaan otak.
Stiles meninggal dunia pada Oktober 2020 pada ketika berusia 78 tahun selepas menderita penyakit dementia. Dia juga didapati menghidap encephalopathy iaitu sejenis penyakit pada otak yang disebabkan hantukan berulang kali pada bahagian kepala. – AFP