fbpx

Max bakal sukar raih kemenangan mudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VERSTAPPEN dianggap meraih kemenangan mudah selepas kesilapan strategi dan masalah jentera yang melanda Ferrari dan Mercedes musim ini. – AFP

LONDON – Prinsipal pasukan Scuderia AlphaTauri, Franz Tost percaya perlumbaan Formula Satu (F1) musim depan lebih menarik terutama mengenai tumpuan kepada perebutan gelaran dunia.

Tegas Tost, dia menjangkakan bahawa juara dunia dua kali, Max Verstappen bakal berdepan tentangan sengit untuk mempertahankan gelaran F1 apabila pelumba pasukan Ferrari, Charles Leclerc dan George Russell (Mercedes) bakal menjadi pencabar utama.

Pada musim 2022, Red Bull berdepan laluan mudah merangkul gelaran dunia kedua berturut-turut disebabkan kesilapan strategi pasukan Ferrari dan juga Mercedes berdepan masalah dengan jentera kurang kompetitif.

Tost percaya, Mercedes dan Ferrari akan menebus kekecewaan tersebut sekali gus mahu menggunakan segala peluang selepas Red Bull dikenakan penalti had perbelanjaan yang ditetapkan musim lalu.

“Aksi pencapaian luar biasa yang dipamerkan Verstappen bersama pasukan Red Bull Ra­cing tahun ini adalah jarang berlaku.

“Saya menjangkakan pada perlumbaan musim depan akan melibatkan pertarungan tiga penjuru membabitkan Verstappen, Leclerc dan Russell kerana mereka ketika ini lebih hebat daripada Lewis Hamilton.

“Saya yakin, penalti yang diberikan FIA kepada Red Bull tetap memberi kesan meskipun pasukan tersebut mempunyai jurutera terbaik di dunia. Tetapi, tidak mustahil Red Bull mampu mempertahankan kemenangan mereka sekali lagi,” kata Tost.

Dalam pada itu, Tost juga meletakkan harapan tinggi kepada persiapan pasukannya dan mengambil iktibar keputusan yang kurang memberangsangkan selepas hanya mengutip 35 mata berbanding 142 mata pada 2021.

“Saya akui jentera 2022 tidak berapa baik dan kami menghadapi masalah terutama pembangunan jentera kerana terikat dengan had bajet. Jadi, dari situ segalanya bermula perlahan dan pasukan gagal memberikan yang terbaik,” ujar Tost.

Pada musim 2023, AlphaTauri membawa masuk Nyck de Vries untuk menggantikan tempat Pierre Gasly dan akan bergan­di­ngan dengan pemandu dari Jepun, Yuki Tsunoda. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI