PETALING JAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohammad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kini giat dalam usaha menangani krisis kekurangan bekalan telur yang melanda negara sejak lebih lima bulan lalu.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau dillihat melawat ladang penternakan ayam dan ladang pengeluar telur di samping turut berkongsi beberapa gambar ketika berada di lokasi.
“Pagi ini saya melawat ladang penternakan ayam dan ladang pengeluar telur untuk mendengar dan melihat sendiri isu-isu yang sedang dihadapi oleh pengusaha ayam dan telur.
“Apa yang saya dengar tadi akan saya bincangkan lebih lanjut bersama pegawai di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) sebelum semua cadangan dari Kementerian dibawa ke pengetahuan kabinet,” tulisnya dalam hantaran di Facebook petang tadi.
Mat Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, beliau akan bertemu dengan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub pada minggu hadapan.
Jelasnya, pertemuan berkenaan adalah bagi mencari jalan penyelesaian bersama supaya bekalan telur di negara kembali pulih dan stabil seperti mana yang diharapkan oleh rakyat.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘menegur’ Mat Sabu ekoran masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran sebelum mesyuarat khas Kabinet Isnin lalu.-KOSMO! ONLINE