TEMERLOH – Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 346 orang melibatkan 106 keluarga hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Pahang, Che Adam A. Rahman kesemua mangsa daripada tiga daerah iaitu Temerloh, Lipis dan Bera di tempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Dua PPS dibuka di Lipis iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit yang menempatkan 52 mangsa dan PPS Masjid Beletik yang menempatkan 27 mangsa.
“Di Temerloh seramai 250 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan manakala di Bera seramai 17 mangsa ditempatkan di PPS SK Lubuk Kulit,”katanya di sini hari ini.
Menurut Che Adam pada masa ini pihaknya bersama pelbagai agensi lain melakukan pemantauan berterusan dan bersedia memindahkan mangsa-mangsa sekiranya air naik.
Katanya, pemindahan berjalan baik malah pengurusan mangsa-mangsa banjir di PPS juga adalah baik dengan kesemua mangsa mendapat bantuan sewajarnya.