LONDON – Seorang lelaki yang menembak dirinya sendiri hampir 200 kali secara sukarela tetapi kini bergelar jutawan mengaku ramai menganggap dirinya ‘bodoh’ kerana perbuatannya, lapor laman berita Ladbible semalam.
Richard Davis iaitu seorang bekas anggota marin yang tampil dalam sebuah dokumentari baharu dengan senang hati merakamkan imej dia melepaskan tembakan pistol pada dadanya.
Dalam satu klip dokumentari itu, Davis boleh dilihat secara bersahaja memusingkan sepucuk pistol Magnum .44 di dadanya dan mengumumkan: “Ramai orang fikir saya baik hati, bodoh kerana melakukan ini.”
Jika anda tertanya-tanya bagaimana Davis boleh membuat kenyataan sedemikian, ia adalah kerana dia adalah pencipta jaket kalis peluru zaman moden dan dalam usaha untuk memastikan ia berfungsi sebaik yang dia mahu, dia menembak dirinya sendiri sebanyak 192 kali.
Davis sebelum ini berkata, dia mendapat inspirasi untuk mencipta jaket kalis peluru selepas terlibat dalam kejadian berbalas tembakan dengan beberapa penjenayah di mana dia mengalami kecederaan di kepala dan kaki.
Filem dokumentari berjudul 2nd Chance yang memaparkan kehidupan bekas anggota marin itu dan diarahkan oleh Ramin Bahrani, kini ditayangkan di pawagam-pawagam Amerika Syarikat dan tarikh tayangan di United Kingdom (Uk) masih belum diumumkan. – Agensi