SEREMBAN – Penduduk di Kampung Bemban, Jalan Pantai Batu 7 di sini menyatakan mereka kini begitu kepenatan apabila kerap kali ditenggelami banjir sehingga terpaksa berhutang membeli barang kelengkapan rumah.
Seorang penduduk Mohd. Fahmi Mohd. Saad, 30, berkata, sudah lapan kali rumahnya banjir sejak tinggal menyewa di situ lapan tahun lalu dan dalam kejadian pukul 4.30 petang semalam, air naik setinggi 1.5 meter.
“Tahun ini sahaja sudah dua kali rumah dinaiki air, pertama awal bulan lalu dan kali kedua semalam sehingga paras dada.
“Masa kejadian, saya tengok air dari belakang rumah naik dan cuba selamatkan barang-barang penting serta bawa keluarga menumpang di rumah anak yatim yang agak tinggi terletak berdekatan rumah kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurut Mohd. Fahmi, ketika banjir petang semalam dia berada di rumah bersama enam ahli keluarga lain termasuk isteri, bapa dan anak-anak.
“Kalau diikutkan sedih memang sedih, paling teruk banjir masa bulan November tahun lalu, habis semua barang musnah,” katanya.
Mohd. Fahmi yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia buntu memikirkan hutang yang perlu dibayar memandangkan barang elektrik dan kelengkapan rumahnya sudah rosak.
“Kami bukannya orang senang, barang dah tak ada (rosak) tetapi hutang tetap kena bayar kalau tidak akan disenarai hitam.
“Memang sudah penat dengan banjir ini, tetapi hendak buat macam mana dugaan kami. Harap pihak berkenaan dapat dalamkan lagi sungai bagi mengelak beraku banjir,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ramlah Wati Ramli, 43, berkata, dalam kejadian banjir petang semalam, dia keluar mengambil anaknya di sekolah sebelum menyedari air sudah naik sebaik tiba di rumah.
“Air naik dengan cepat dalam tempoh dua jam dan rumah saya yang berada di tengah naik terlalu tinggi, saya terus keluar dan junjung anak di kepala.
“Rumah memang musnah sepenuhnya, memang fikir nak selamat anak sahaja barang-barang tidak sempat,” katanya.