KUALA TERENGGANU – Seorang ibu muda bersyukur dikurniakan zuriat yang kini berusia setahun tujuh bulan biarpun mempunyai sistem peranakan abnormal iaitu Bicornuate Bicollis.
Nur Hasmidah Hamzah, 31, berkata, Bicornuate Bicollis menyebabkan dia memiliki peranakan wanita berganda iaitu dua rahim (uterus), dua pangkal rahim (serviks) dan dua faraj (vagina).
“Saya bersyukur kepada Allah dan berasa sangat bertuah dikurniakan keajaiban bergelar ibu walaupun sistem peranakan saya tidak normal seperti wanita lain.
“Disebabkan sistem peranakan abnormal, proses melahirkan bayi perempuan, Nur Aleesa Ahmad Bakaruddin pada 21 April tahun lalu berdepan kesukaran termasuk uri melekat, namun syukur semuanya selamat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Nur Hasmidah yang berasal dari Pendang, Kedah berkata, dia mula menyedari sesuatu tidak kena apabila didatangi haid dua kali setiap bulan sejak aqil baligh.
Pada mulanya dia menganggap perkara itu normal sehingga mengalami pendarahan haid yang sangat teruk pada 2017.
“Terkejut saya apabila pemeriksaan imbasan di klinik mengesyaki saya mempunyai dua rahim yang berisiko untuk sukar memperoleh zuriat.
“Saya disyorkan untuk melakukan pemeriksaan lebih terperinci di hospital, tetapi saya enggan kerana masih belum bersedia pada masa itu,” ujarnya.
Nur Hasmidah memberitahu, sewaktu mahu berkahwin pada tiga tahun kemudian, dia berterus-terang kepada bakal suaminya, Ahmad Bakaruddin Mohamed @ Ismail, 28, tentang kekurangan diri.
Dia terharu kerana Ahmad Bakaruddin masih mahu perkahwinan mereka diteruskan juga sebelum dia kemudian disahkan bunting pelamin.
“Pemeriksaan doktor mendapati kedua-dua rahim saya mengandungi embrio, namun hanya satu terus membesar sebelum selamat dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah pada 26 April 2021.
“Komplikasi dialami sepanjang proses melahirkan menyebabkan doktor memutuskan untuk melakukan pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) pada 15 Jun 2021,” katanya.
Katanya, pengkongsiannya itu sebagai motivasi kepada wanita yang masih belum memperoleh anak agar tidak cepat kecewa.
“Ramai wanita sering disalahkan apabila gagal memiliki anak, sedangkan mereka mungkin ada masalah kesihatan. Kita perlu sokong antara satu sama lain bukan mengeji,” ujarnya.