PARIS – Perancis akan mula menyediakan kondom secara percuma kepada mereka yang berumur lebih 18 dan bawah 26 tahun mulai bulan depan dalam usaha mengurangkan penularan penyakit kelamin, lapor portal berita UPI semalam.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron membuat pengumuman kesihatan awam itu semalam dan memberitahu penerbitan Perancis, La Nouvelle Republic bahawa negara tersebut mempunyai isu sebenar apabila ia berkaitan dengan kesihatan seksual golongan mudanya.
Menurut ciapan Macron di Twiter, usaha itu adalah berdasarkan langkah-langkah lain untuk meningkatkan kesihatan termasuk kontraseptif kecemasan percuma untuk semua wanita di farmasi dan pemeriksaan penyakit kelamin secara percuma tanpa preskripsi untuk orang ramai yang berumur di bawah 26 tahun.
“Ia adalah revolusi kecil untuk pencegahan. Kami tidak begitu baik dalam subjek ini. Realitinya sangat, sangat berbeza daripada teori,” kata Macron pada Jumaat.
Negara tersebut mengalami peningkatan kadar penyakit kelamin nasional sebanyak 30 peratus pada tahun 2020 dan 2021.
“Penggunaan kondom sangat rendah, terutamanya dalam kalangan orang muda,” kata Catherine Fohet iaitu pakar sakit puan dan ahli Persekutuan Institut Ginekologi Perubatan Kebangsaan Perancis kepada New York Times dalam satu temu bual. – Agensi