ZURICH, Switzerland – Bilangan bilionair di seluruh dunia merosot tahun ini, antaranya akibat perang Russia di Ukraine, dasar monetari lebih ketat, kejatuhan pasaran saham dan kelembapan ekonomi China, kata bank terbesar di Switzerland, UBS kelmarin.
UBS yang merupakan antara pengurus kekayaan terbesar dunia menyatakan, terdapat seramai 2,668 bilionair pada Mac 2022, kurang 87 kurang berbanding setahun sebelumnya.
Menurutnya, keseluruhan bilionair berkenaan memiliki kekayaan terkumpul berjumlah AS$12.7 trilion (RM 55.73 trilion) berbanding AS$13.1 trilion (RM57.48 trillion) pada tahun sebelumnya.
“Bagaimanapun, jumlah kekayaan dan bilangan bilionair dunia dijangka akan terus merosot sejak Mac 2022 disebabkan oleh susut nilai aset.
Terdapat 273 bilionair baharu pada 2022, manakala tahun sama menyaksikan 360 orang tercicir daripada status tersebut.
“Ini adalah masa untuk mengubah nasib. Kadar faedah yang melonjak, pembukaan semula selepas pandemik dan perang di Eropah menimbulkan ketidaktentuan serta turun naik pasaran, dengan kekayaan tercipta dan terhakis dalam ukuran yang hampir sama,” kata UBS dalam laporannya bertajuk Billionaire Ambitions.
Sektor yang mempunyai bilangan bilionair paling ramai pula ialah kewangan dan pelaburan (392) serta teknologi (348).
Populasi bilionair di rantau Asia Pasifik masih kekal yang paling besar di dunia tetapi bilangannya susut seramai 59 kepada 1,084 orang.
“Dasar sifar Covid di Tanah Besar China memperlahankan pertumbuhan selepas bertahun-tahun China kekal sebagai ekonomi besar paling pesat berkembang di dunia,” kata UBS sambil menambah, bilangan bilionair China berkurang daripada 626 kepada 540 orang.
Bagaimanapun bilangan bilionair di Amerika Syarikat meningkat daripada 724 kepada 735 orang .
Bilangan bilionair di Eropah Barat susut daripada 474 kepada 467, manakala di Eropah Timur, jumlah mereka juga merosot daripada 154 kepada 127. Jumlah bilionair di Asia Barat dan Afrika menurun daripada 91 kepada 89.
Kekayaan bilionair-bilionair meningkat pada 2021 berikutan kelonggaran dasar monetari yang dilaksanakan untuk membendung kejutan akibat pandemik Covid-19. Kelonggaran itu mendorong peningkatan ketara dalam pasaran saham, demikian menurut laporan sama. – AFP