SELEPAS muncul dengan single solo berjudul Putus tahun lalu, Nabila Razali kini hadir dengan satu lagi karya balada yang tidak kurang enaknya, Aku Terluka.
Merupakan hasil ciptaan Amylea dan MFMF, Aku Terluka menonjolkan lagi sisi matang listrik vokal dan penghayatan emosi Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd. Razali sebagai seorang penyanyi.
Sejujurnya, penulis tidak pernah merasakan Nabila, 30, seorang vokalis yang tidak bagus.
Merdu, vibrato kemas
Seseorang penyanyi yang bagus bukan hanya tahu melantunkan suara yang merdu atau tinggi melangit tetapi memiliki signatur tersendiri apabila membuka mulut atau vokal mereka mudah ‘dikenali’ apabila dimainkan di corong radio.
Nabila mempunyai kualiti apabila lagu nyanyiannya dimainkan di radio, orang tahu bahawa itu adalah suaranya dan dari mana datangnya gerangan pemilik vokal tersebut.
Menyentuh tentang single baharunya, Aku Terluka, Nabila ternyata semakin hari, semakin mengerti kekuatan dirinya sebagai seorang penyanyi.
Prestasi nyanyiannya semakin merdu dan vibrato terus diperkemas sekali gus menjadikan Aku Terluka sebagai antara karya yang paling menonjolkan jawatan atau peranannya sebagai seorang vokalis.
Nabila tahu posisi atau kedudukannya. Dia tak pernah mencuba untuk menyanyi bak Aina Abdul atau Ernie Zakri kerana itu bukan fortenya. Dia menyanyi dengan selamba sahaja, namun emosi dalam lagu tetap sampai ke sanubari mereka yang mendengar.
Sementara itu, dari sudut gubahan muzik, karya tersebut sebenarnya kedengaran seperti sebuah lagu dari seberang. Perihal terbabit tidak menjadi satu perkara yang asing datang daripada komposer bernama Amylea.
Elak bosan, versatil
Bukan membuta tuli mengalirkan kritikan atau pandangan, namun ‘realiti’ Aku Terluka selepas hadirnya versi duet, Tak Ingin Usai (bersama Keisya Levronka) seperti menyaksikan Nabila dan pasukan sukar move on daripada templat muzik sebegitu.
Ini pandangan peribadi penulis, namun barangkali sudah sampai waktunya Nabila menghadirkan antem berentak rancak seperti awal kemunculannya dahulu.
Lagu-lagu seperti Pematah Hati dan Vroom Vroom juga cocok dengan vokalnya.
Hal tersebut untuk mengelakkan pendengar berasa mambar dengan pengaruh muzik Nabila yang sebenarnya sangat versatil. Dia boleh menyanyi apa sahaja genre dan itu terpulang kepada kerelaan dirinya mencuba sesuatu yang baharu untuk bergerak ke hadapan selepas ini.
Apapun, Aku Terluka bukanlah satu percubaan yang kurang dampak.
Masih berstatus lagu enak didengar cumanya pendengar perlukan masa untuk lagu tersebut bergerak ke arus seperti Peluang Kedua yang mencipta fenomena luar biasa.