MELAKA – Sebuah treler membawa muatan gelung besi terbalik dan melintang di tengah jalan selepas terlibat dalam nahas di lampu isyarat di Taman Muzzaffar Syah, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, pemandu treler berusia 38 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku ketika treler tersebut dalam perjalanan dari arah Kilang CSC Steel Sdn. Bhd. menghala ke Ayer Keroh.
“Treler tersebut dalam perjalanan untuk menghantar gelung besi di syarikat perindustrian di Rawang.
“Apabila sampai di lokasi semasa lampu isyarat hijau, kenderaan berat itu cuba membelok ke kanan, namun tiba-tiba terbalik dan melintang di tengah persimpangan lampu isyarat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ujarnya, kemalangan itu bagaimanapun tidak melibatkan kenderaan lain atau harta benda awam.
“Pemandu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk tindakan lanjut dan siasatan masih diteruskan.
“Kes disiasat mengikut Seskyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE