SABAN hari kita menyaksikan ramai individu mengalami tekanan melampau sehingga ada yang sanggup merisikokan nyawa sendiri.
Masyarakat masih lagi skeptikal terhadap isu kesihatan mental dan sulit untuk membasmi stigma menghukum yang mengakibatkan pesakit mental menjauhkan diri dan berselubung dalam dunia sendiri.
Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr. Ramli Musa berkata, penyakit mental boleh diwarisi secara genetik dan juga disebabkan persekitaran termasuk kehidupan yang membebankan.
“Kalau di peringkat remaja selalunya berkait ibu bapa yang terlalu mengawal atau tidak endah perihal anak-anak. Seterusnya, berpunca daripada rumah tangga yang tidak harmoni.
“Tekanan di tempat kerja dan faktor ekonomi juga menyumbang kepada penyakit mental,” katanya kepada Kosmo!
Mengulas lanjut, beliau berpandangan adalah tidak wajar untuk melabel pesakit mental sebagai mengada, lemah iman dan sebagainya.
“Memang tidak patut dan melampau dilabel sebegitu. Orang yang dikatakan kuat iman ini, mereka kurang berisiko untuk mendapat penyakit mental, namun bukan jaminan mereka tidak akan mengalaminya.
“Kesedaran terhadap kesihatan mental ini sangat penting. Ia boleh bermula dari tertekan, kemurungan sehinggalah kepada kes berat seperti penyakit skizofrenia dan bipolar,” katanya.
Beliau berkata, satu lagi elemen menarik tentang penyakit personaliti iaitu Kecelaruan Personaliti Pinggiran (BPD) di mana pesakit cenderung untuk menyakiti diri sendiri dan kebiasaannya berlaku kepada wanita.
“Jika kita lihat puncanya tidaklah serius, tetapi tindakan yang dibuat sangat melampau kerana dipengaruhi personaliti mereka untuk melepaskan tekanan. Bila ditanya kenapa berbuat demikian, pesakit akan menjawab ‘bila saya sakit, saya rasa lega’.
“Dalam permasalahan ini, kami sebagai pakar menggalas tanggungjawab besar untuk mendidik masyarakat.
“Ramai yang masih tertanya-tanya bila waktu tepat untuk mengambil ujian saringan (screening test) kesihatan mental.
Bagi yang ingin melakukan saringan boleh layari ramlimusa.com untuk mengambil ujian Depression Anxiety Stress Scale (DASS) untuk mengetahui sejauh mana kesihatan mental anda.
“Jika keputusannya di bawah kategori teruk dan sangat teruk sehingga mengganggu aktiviti seharian dan ada niat mengambil nyawa atau mencederakan diri maka, anda perlulah segera mendapatkan rawatan serta nasihat doktor,” ujarnya.
Katanya, pengunjung laman web beliau rata-rata adalah dari golongan muda dan hanya sedikit dari golongan yang berumur. Ini merupakan satu cabaran besar mendidik generasi lebih tua untuk mengubah persepsi mereka terhadap psikiatri.
“Nasihat saya kepada ibu bapa serta generasi ‘lama’ supaya tidak membandingkan zaman mereka dahulu dengan zaman anak-anak sekarang kerana ia jelas sangat berbeza. Selain itu, sebagai ibu bapa, elakkan dari membanding anak-anak ataupun ‘pilih kasih’.
“Saranan saya kepada masyarakat, kita kena tahu cara mengendali tekanan kerana ‘mencegah lebih baik dari merawat’ di samping kita juga perlu tahu bagaimana cara untuk menguatkan diri sendiri.
“Kemahiran seperti berkomunikasi, kepimpinan, pengurusan masa, pengurusan kemarahan dan juga penyelesaian masalah menjadikan mental seseorang kuat sekaligus mengelakkan tekanan,” katanya.