KLUANG – Harga telur ayam semakin mahal apabila telur ayam gred D dijual pada harga 50 sebiji dan telur jenis omega pula 58 sen berbanding 40 sen sebelum ini.
Keadaan ini dipercayai berlaku kerana telur ayam gred D dan omega kurang mendapat sambutan orang ramai selain kekurangan bekalan untuk telur ayam gred A, B dan C.
Peniaga, Putra Ahmad, 35, berkata, pihaknya memang tidak akan mengambil bekalan telur ayam gred D kerana terlalu mahal selain saiz yang agak kecil.
Katanya, ketika ini kedainya hanya menjual telur ayam gred A dengan harga 45 sen sebiji iaitu keuntungan 3 sen kerana bekalan diterima pada harga 42 sen sebiji.
“Bekalan yang dihantar pun hanya sekitar 150 biji (lima papan) sehari berbanding keperluan bekalan sebanyak tidak kurang 1,200 biji sehari.
“Selain itu, harga yang dijual kepada peruncit seperti kami ini terlalu tinggi sedangkan peniaga terpaksa mengikut harga kawalan,” katanya.
Kata Putra lagi, keputusan kerajaan mengumumkan akan mengimport bekalan telur dari negara jiran adalah sesuatu tindakan yang baik serta peruncit bersetuju dengan cadangan berkenaan.
Ujarnya, inisiatif itu dijangka akan menjamin bekalan bahan mentah itu di pasaran lebih-lebih lagi menjelang musim-musim perayaan.
“Kami peniaga sambut baik dengan cadangan kerajaan import telur.
“Kalau boleh selesai isu telur dengan import baguslah, penat isu ini sudah berlarutan hampir dua bulan.
“Pengusaha atau pembekal telur ayam juga tak boleh sesuka hati nak ‘menekan’ rakyat dengan bermain hargalah, bekalan tetap tidak ada,” katanya.
Dalam pada itu tinjauan Kosmo! semalam mendapati bekalan telur ayam di sebuah kedai telur ayam di Kluang dijual pada harga RM18.90 (gred AA), RM13.50 (gred A), RM12.90 (gred B), RM12.30 (gred C) dan gred D berharga RM12. 30 setiap papan.